CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

ma picture

Thursday, May 15, 2008


SATU lagi rekod dicipta apabila Azali Azlan, 18, mendapat 21 A di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 yang diumumkan baru-baru ini.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Yan, Kedah ini berjaya memecah dominasi kecemerlangan pelajar wanita sejak tahun 2004 iaitu Nur Amalina Che Bakri yang mendapat 17 1A (SPM 2004), Esther Elizabeth Jack 15 1A (SPM 2005), Nadiah Amirah Jamil dan Siti Fatimah Mukhtar masing-masing mendapat 18 A pada SPM 2006.
Seorang lagi pelajar cemerlang SPM 2007, Quek Khai Ren, 18, dari SMK Hwa Lian, Mentakab, Pahang berjaya mendapat 16 1A.
Manakala pelajar SMK Gelang Patah, Johor, Norlaila Najwa Abdullah, 18, berjaya memeperoleh 16 1A dan tiga 2A.

`Saya mengambil 21 subjek bukan untuk memecahkan rekod sebaliknya sebagai hadiah penghargaan kepada guru dan ibu bapa,` kata Azali.
Manakala bagi Khai Ren, hasratnya mengambil 16 subjek adalah untuk memudahkannya mendapat biasiswa bagi mengurangkan bebanan kewangan keluarga kerana yuran pengajian di universiti agak tinggi.

Trend mengambil banyak subjek dan berlumba-lumba mengumpul A masih berterusan walaupun tidak digalakkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Untuk SPM 2007, seramai 1597 calon atau 0.3% mengambil lebih daripada 12 subjek. Sepuluh calon mengambil 16 subjek, dua calon mengambil 17 subjek, 18 subjek (satu), 19 subjek (satu), 20 subjek (satu), dan 21 subjek (satu).

Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom, KPM hanya menggalakkan pengambilan lapan hingga sepuluh mata pelajaran sahaja.
`Kita tidak mahu pelajar terbeban dengan mengambil terlalu banyak subjek,` katanya.
Bagaimanapun KPM tidak menghalang pelajar mengambil banyak subjek kerana SPM merupakan peperiksaan terbuka.

`Semuanya bergantung kepada keupayaan pelajar,` tambahnya.
Implikasi mengambil terlalu banyak subjek ialah pelajar dikhuatiri terlalu memberi tumpuan kepada pelajaran sehingga mengabaikan aktiviti kokurikulum yang menjadi antara syarat kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Namun Azali sememangnya pelajar luar biasa kerana beliau juga merupakan Tokoh Nilam Kebangsaan 2007 di samping aktif sebagai pembahas sekolah. Beliau juga bendahari kepada Lembaga Pengawas sekolahnya.

Selain itu, pelajar yang mengambil terlalu banyak subjek juga terpaksa belajar sendiri kerana bilangan guru yang terhad tidak mampu menampung keperluan tersebut.
Sebagai contoh, Azali belajar sendiri tanpa kelas formal untuk sembilan subjek iaitu Geografi, Perdagangan, Prinsip Akaun, Ekonomi, Sains, Tasawur Islam, Pendidikan Al-Quran & Sunnah, Syariah Islamiah, dan Seni Visual.

Kata Alimuddin, pelajar cemerlang bukan sahaja diukur dari segi intelek iaitu pencapaian akademiknya tetapi juga jasmani, rohani dan emosinya.
Justeru, bakal calon SPM 2008 perlu mencontohi kejayaan pelajar cemerlang ini dari segi usaha, disiplin dan komitmen untuk berjaya tetapi bukan bertujuan untuk memecah rekod semata-mata hingga melupakan aktiviti kokurikulum demi mendapat banyak A.

0 comments: